DUN Sabah Akan Bersidang Dua Hari Pada 12 & 16 November

KOTA KINABALU, 10 Nov : Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan bersidang selama dua hari pada Khamis (12 Nov)  dan Isnin (16 Nov) dengan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya berkata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijadual menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan DUN Sabah Khamis ini yang dijangka berlangsung pada pukul 10 pagi, tanpa acara perbarisan.

Kadzim berkata persidangan DUN Sabah ke-16 pada Isnin pula akan dimulai dengan sesi soal jawab pada pukul 10 pagi, diikuti sesi perbahasan ucapan dasar Tun Juhar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dijangka berakhir sehingga sesi selesai.

“Bagaimanapun, tidak semua ADUN akan membahaskan ucapan dasar kerana kita terpaksa mengehadkan jumlah ADUN untuk sesi itu berikutan tempoh masa yang terhad. Ini kerana, selain sesi perbahasan ucapan dasar, kita juga akan membentangkan belanjawan tambahan negeri.

“Tetapi, untuk Belanjawan Negeri 2021 yang dijadual dibentangkan pada Disember ini, kita akan memberi peluang kepada semua ADUN untuk berucap sekiranya keadaan mengizinkan dengan tempoh masa seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Kadzim berkata, istiadat pembukaan dan persidangan DUN Sabah boleh diikuti secara langsung melalui saluran YouTube kerajaan negeri.

Difahamkan, hanya media rasmi dibenarkan untuk membuat liputan di Bangunan DUN Sabah dengan jumlah terhad iaitu dua wakil daripada setiap agensi dan ruangan bilik media akan dibuka pada Isnin dengan pemantauan SOP oleh pegawai Jabatan Penerangan Sabah.

Persidangan itu bakal menyaksikan kedudukan ADUN berubah selaras dengan jajaran politik baharu yang menyaksikan Parti Warisan Sabah (Warisan) tumbang selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept lalu, sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu.

GRS merangkumi Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah, memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Warisan pada PRN Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *