Aktiviti Keagamaan, Bersukan & Khidmat Bas Henti-Henti Kini Dibenarkan

KOTA KINABALU: Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) mula memberi kelonggaran bagi membenarkan beberapa aktiviti untuk dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Aktiviti keagamaan, bersukan, makan dalam restoran dan perkhidmatan bas henti-henti dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula hari ini sehingga PKPB berakhir pada 6 Disember.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan bas henti-henti dibenarkan dalam daerah yang sama, dengan kapasiti 50 peratus penumpang bagi mematuhi penjarakan fizikal dan perlu memakai pelitup muka.

Perkhidmatan teksi dan e-hailing pula dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam dengan dua penumpang sahaja pada satu-satu masa.

Sementara pergerakan bot-bot di kawasan pesisiran pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas dibenarkan antara 6 pagi hingga 2 petang.

Untuk operasi pusat membeli belah, kedai runcit, restoran, medan selera dan kenderaan bersaji (food truck) dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Kini, kebenaran turut diberikan untuk makan dalam restoran, hotel, medan selera dengan kapasiti separuh daripada biasa dengan penjarakan satu meter.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal (indoor/outdoor) dibenarkan secara individu tidak melebihi 10 orang seperti joging, berbasikal, senam robik dan mendaki.

Untuk aktiviti keagamaan masjid, surau, rumah ibadah bukan Islam turut dibenarkan dengan ketetapan oleh pihak berkuasa agama negeri dan kerajaan negeri.

Bagi masjid akad nikah Islam dan perkahwinan bukan Islam turut dibenarkan dengan kehadiran maksima 20 orang sahaja.

Sementara itu, aktiviti pusat hiburan, majlis kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan masih tidak dibenarkan.

Begitu juga dengan aktiviti pelancongan yang masih belum dibenarkan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *