Warga Filipina Ditahan Bersama 2,500 Bungkus Rokok Seludup

Bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup yang ditemui dalam sebuah di sebuah rumah di di Kampung Bakau Baru, Jalan Silam di Lahad Datu, kelmarin.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu merampas 2,500 bungkus rokok seludup bernilai RM36,300 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bakau Baru, Jalan Silam di sini, kelmarin.

Dalam serbuan pada 11.30 pagi itu, pasukan PPM yang bertindak atas maklumat orang awam menyerbu rumah berkenaan sebelum menemui semua rokok yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua rokok yang tidak berbayar cukai berkenaan disembunyikan dalam beg plastik hitam dan disimpan di stor belakang rumah tidak bernombor terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat sebanyak 2,500 bungkus rokok jenama ‘Premium International’.

“Hasil penemuan itu, polis menahan seorang lelaki lingkungan berusia 47 tahun warga Filipina.

“Anggaran jumlah rampasan rokok dianggarkan bernilai RM36,300 selepas cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gan berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek yang ditahan pula dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Pihak PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197.

“Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Gerakan PPM Lahad Datu di talian 013-9808084 bagi memastikan keselamatan dan  kemakmuran setempat terjaga dan terkawal,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *