Penduduk Lahad Datu Bantah Lanjutan PKPD

Penduduk di pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu berkumpul untuk membantah lanjutan PKPD hari ini.

KOTA KINABALU: Penduduk di pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, membantah pelanjutan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan itu, hari ini.

Dalam beberapa klip video yang tular di media sosial, sekumpulan penduduk dilihat berkumpul di kawasan perumahan terbabit dipercayai untuk membantah pelanjutan PKPD selama 14 hari lagi sehingga 9 Nov depan.

Penduduk di pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu berkumpul untuk membantah lanjutan PKPD hari ini.

Sumber berkata, penduduk tidak berpuas hati dengan pelanjutan PKPD yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob kerana mendakwa kehidupan mereka sangat terjejas sejak perintah itu dilaksanakan pada 13 Okt lalu.

”Penduduk di sini tidak berpuas hati kerana jumlah kes sudah mencapai tahap rendah dan kebanyakkan mereka tidak sanggup lagi menanggung beban kerana ada yang sekadar kerja gaji harian dan berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun ketika diminta mengulas perkara itu berkata, beliau akan meminta Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menilai semula keadaan di kawasan itu.

”Saya memahami perasaan mereka yang terkurung lama, namun saya juga perlu mengambil kira laporan dan perakuan daripada JKNS atau KKM (Kementerian Kesihatan).

”Apa yang kita akan buat ialah barangkali esok saya akan meminta MKN Sabah serta JKNS untuk menilai semula keadaan di situ dan kita akan laporkan dalam mesyuarat MKN seterusnya.

”Saya harap buat sementara waktu semua penduduk bertenang. Saya fikir apa pun keputusan dibuat adalah mengambil kira kebaikan secara keseluruhan. Saya tidak fikir KKM sengaja membuat keputusan yang menyusahkan atau memudaratkan orang ramai.

”Kita berdepan dengan Covid-19 yang begitu menggerunkan dan Sabah antara yang paling terkesan penularannya,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah menerusi aplikasi Zoom hari ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *