Akses Internet Teruk Cabaran Utama PdP Di Pedalaman Sabah

Seorang guru di Keningau berkata, selain akses internet, beliau turut menghadapi masalah pelajar tidak mempunyai peranti atau gajet untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

KOTA KINABALU: Akses internet teruk di kawasan pedalaman Sabah ialah cabaran utama dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah untuk ibu bapa dan guru.

Ibu kepada 2 anak, Diana Dennis Oh yang tinggal di Kampung Rezab Lambanga, Apin-apin di Keningau, berkata beliau tertekan dan hampir berputus asa ketika membantu anaknya belajar di rumah akibat masalah internet.

“Capaian internet adalah cabaran paling besar sehingga tugasan yang diberikan guru tidak dapat dipenuhi, terutama ketika diminta menghantar gambar hasil kerja sekolah anak-anak menggunakan aplikasi yang ditentukan pihak sekolah.

“Memang tertekan sehingga kadang-kadang saya tidak sanggup lagi mahu hantar (kerja sekolah). Ada beberapa kali juga saya memandu hampir 10km meninggalkan anak di rumah semata-mata mahu menghantar kerja sekolah anak.

“Bagi saya, tiada masalah guru memberi kerja sekolah kerana ia memang keperluan supaya murid tidak ketinggalan, mereka sudah berusaha menghantar pautan di YouTube untuk mengajar subjek tertentu, tetapi tiada ertinya jika capaian internet tidak bagus,” katanya kepada FMT.

Wanita itu yang juga penjawat awam berkata, kadangkala beliau mengambil gambar kerja sekolah anaknya untuk dihantar kepada guru di tempat kerjanya.

“Kadang-kadang kerja sekolah anak yang telah disiapkan saya kumpul sehingga 5 hari dan hanya keluar rumah untuk menghantarnya di kawasan yang mempunyai capaian internet lebih baik.”

Beliau bagaimanapun tetap berusaha memastikan anaknya menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan berterima kasih kepada guru yang memahami masalah dihadapinya.

Sementara itu, seorang guru di Keningau berkata, selain akses internet yang merupakan cabaran utama, beliau turut menghadapi masalah pelajar tidak mempunyai peranti atau gajet untuk PdP.

“Internet di kampung tidak kuat, agak sukar untuk murid menjalani PdP dari rumah.

“Selain itu, ramai ibu bapa yang tidak mahir menggunakan ‘Google classroom’. Ada juga beberapa ibu bapa yang tidak mempunyai kemudahan seperti tablet, laptop serta telefon pintar,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Untuk mengatasi masalah peranti itu, beliau akan menghubungi ibu bapa untuk mengambil modul pembelajaran yang disediakan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *