ESSCOM Rampas 12,200 Bungkus Rokok Seludup

Pasukan keselamatan mematahkan cubaan menyeludup masuk dan merampas 12,200 karton rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM152,288.00 di kawasan Blok 5, Kampung Titingan, dekat sini malam tadi.

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 12,200 bungkus rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM152,288 di kawasan Blok 5, Kampung Titingan, dekat sini, malam tadi.

Ia susulan maklumat menerusi radar yang berjaya mengesan pergerakan sebuah bot laju dari arah Pulau Sebatik menghala ke kawasan perairan Kampung Titingan, kira-kira jam 9.35 malam.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata sebaik tiba di lokasi, pasukan keselamatan kemudiannya terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang leka memindahkan beberapa kotak yang disyaki rokok seludup dari sebuah bot ke kawasan lapang.

Bagaimanapun, semua mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan dan berjaya meloloskan diri.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan sejumlah kotak besar yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenama yang dipercayai tanpa kelulusan dan cukai Kastam.

“Antara jenis rokok seludup yang dirampas termasuklah rokok Surya 800 bungkus, Nice Bold (1,800); LA Bold (1,000); LA Menthol Light (5,600); dan Premium International Gold (3,000),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Fuad lagi, rampasan berkenaan adalah kejayaan terbesar yang pernah dicatatkan menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan oleh ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal April lalu.

Katanya, semua barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *