Dana Besar Tingkat Taraf Hidup Rakyat Sabah

Datuk Dr Joachim Gunsalam

KOTA KINABALU: Peruntukan RM5.1 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan 2021 bagi membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata usaha membina dan menaik taraf infrastruktur itu antara lain bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri yang seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

“Sudah tentu ia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar. Melalui peruntukan ini kita berharap pembangunan asas atau infrastruktur akan lebih dipertingkat dan dipercepat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ membabitkan peruntukan RM322.5 bilion.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, langkah menyambung semula projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan projek pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay juga akan membawa limpahan ekonomi untuk rakyat serta memberi keyakinan pelabur masuk ke Sabah.

Beliau berkata, satu lagi peruntukan yang penting untuk Sabah ialah RM725 juta bagi menaik taraf sekolah daif kerana negeri itu masih banyak bangunan sekolah daif.

Katanya, dengan peruntukan RM16 bilion dan RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, beliau berharap, tahap keselamatan di negeri ini ditingkatkan khususnya dalam menangani pendatang tanpa izin dan penyeludupan barang termasuk menutup ‘jalan tikus’.

“Jaminan keselamatan yang mapan akan memberi kepercayaan yang tinggi kepada pelabur-pelabur asing dan domestik untuk melabur di negeri ini.

“Harapan saya belanjawan kali ini dapat menggerakkan pembangunan di kawasan luar bandar dan dapat merangsang pertumbuhan industri Sabah, termasuk sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *