COVID-19: Peningkatan Angka Kes Di Sabah Menggerunkan – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan bilangan kes positif COVID-19 yang dicatatkan di negeri itu pada Jumaat sebagai menggerunkan.

Namun beliau berkata ia perlu dilihat dari sudut positif serta fakta kes.

“Hari ini jumlah kes baharu positif COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 1,199 kes dan ia satu angka yang menggerunkan.

“Tetapi ia perlu dilihat dari dua sudut, pertama peningkatan kes adalah disebabkan hasil ujian saringan melibatkan beberapa kluster seperti Kluster Rumah Merah dan Kluster Penjara yang telah pun diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan ia tidak melibatkan kawasan awam.

“Kedua, angka yang tinggi ini harus menjadi motivasi kepada kita semua khususnya di negeri Sabah untuk lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini,” katanya menerusi sidang media maya yang diadakan di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Menurutnya lagi, kluster baharu di Keningau turut menyumbang kepada bilangan kes apabila Kluster Mempulut mencatatkan sebanyak 28 kes yang dikaitkan dengan sebuah majlis kenduri arwah.

Daripada 1,199 kes positif tersebut, sebanyak 556 kes adalah berpunca daripada Kluster Pusat Tahanan Sementara Tawau dan Kluster Penjara Sandakan, manakala selebihnya iaitu 643 kes adalah dari lain-lain kategori.

Masidi turut memaklumkan peningkatan kes sembuh melibatkan Kluster Penjara Kepayan yang masih diletakkan dalam PKPD sehingga 16 November 2020.

“Sebelum ini seramai 2,701 orang telah disaring dan 1,652 orang telah didapati positif.

“Sehingga hari ini, 1,607 orang telah disahkan sembuh manakala 585 masih positif dengan 14 orang sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.

Pada Jumaat, satu kematian direkodkan di Sandakan, menjadikan angka kematian akibat COVID-19 di Sabah sehingga 6 November 2020 adalah sebanyak 144 kes.Daripada jumlah tersebut, 48 kes merupakan kematian di Unit Rawatan Rapi ICU. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰Â https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *