PTS Tawau Dan Penjara Sandakan Dikenakan PKPD Mulai Esok

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sabah, akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PTS Tawau merekodkan 440 kes positif COVID-19 membabitkan tahanan dan staf, manakala Penjara Sandakan pula 111 jangkitan hasil saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

“PKPD di PTS Tawau akan membabitkan 1,707 individu terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan.

“PKPD di Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira pula membabitkan 1,605 individu meliputi 1,308 tahanan serta 297 kakitangan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Anjung Teduh, FELDA Sahabat, Lahad Datu, yang sepatutnya berakhir esok akan disambung lagi selama dua minggu hingga 20 November depan.

“Setakat semalam, KKM telah menjalankan 2,615 ujian saringan dan merekodkan 56 kes positif COVID-19.

“Seramai 28 individu terbabit sudah sembuh sepenuhnya, namun 28 lagi masih kes aktif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di kawasan Hutan Desaru Coast, Johor, semalam, dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini.

Secara keseluruhan, beliau berkata, 41 PATI ditahan dalam Op Benteng yang dijalankan pelbagai agensi keselamatan negara, semalam.

“Pihak berkuasa juga berjaya menahan dua tekong serta dua penyeludup, selain merampas lima kenderaan darat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis menahan 506 individu atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Ia meliputi premis gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran pelanggan (145), tidak memakai pelitup muka (124), gagal mematuhi penjarakan fizikal (96) serta aktiviti pusat hiburan (72),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *