Insiden Tahanan Rumah Merah Larikan Diri Tidak Akan Berulang – Habibi

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji (kanan)

KOTA KINABALU: Polis daerah ini memberi jaminan tiada lagi kes tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri akan berlaku di Rumah Merah, Menggatal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tembok di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal itu sudah diperbaiki.

Beliau berkata, dalam aspek keselamatan, tenaga kerja dan logistik dan tahap kawalan di PTS itu sudah dipertingkatkan bagi mengelakkan kes sama berulang.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis daerah itu mengambil langkah menumpangkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah selesai menjalani hukuman di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu.

Ini bagi membantu mengurangkan kesesakan tahanan di PTS, Menggatal ketika pandemik Covid-19 ini.

Beliau berkata, setakat ini 12 orang PATI yang sudah selesai menjalani hukuman ditumpangkan di Lokap Berpusat tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya jumlah PATI itu bertambah, IPD Kota Kinabalu akan berbincang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah bagi menempatkan tahanan itu sama ada di dewan atau tempat lain yang akan ditentukan kelak.

Ketika ini, PTS Menggatal mempunyai 1,707 orang tahanan yang ditempatkan di 14 blok bangunan.

Tambahnya, operasi menangkap PATI masih dijalankan seperti biasa.

Sementara itu, dua anggota polis dengan dibantu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di PTS, Menggatal.

PTS ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 hingga 16 November ini.

Namun, kawad berduri tidak perlu dipasang kerana kawasan ini berpagar dan kawalan akan dilakukan di hadapan pintu masuk selama 24 jam.

Habibi berkata, pergerakan keluar dan masuk kakitangan di PTS itu akan dihadkan. Hanya penghantar makanan sahaja dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

Katanya, tiada sebarang pelawat atau ahli keluarga dibenarkan datang melawat sepanjang tempoh PKPD itu. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *