Bekalan Darah Sabah Mampu Bertahan Dua Minggu

KOTA KINABALU, 4 Nov : Bekalan darah di Sabah dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh dua minggu sahaja lagi memandangkan jumlah darah yang digunakan untuk merawat pesakit setiap hari ketika ini agak tinggi, berbanding jumlah darah yang didermakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata jumlah bekalan darah semakin berkurangan kerana secara purata sebanyak 220 unit darah digunakan setiap hari, tetapi hanya menerima derma harian sekitar 150 unit.

Beliau berkata masalah kekurangan bekalan darah di negeri ini berlaku kerana orang ramai bimbang untuk keluar menderma ketika COVID-19, dan pihaknya telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan keselamatan penderma terpelihara, di samping memudahkah mereka menderma.

“Jika simpanan darah terus berkurangan, ia akan membimbangkan kerana bekalan darah berterusan ini amat penting bagi kesinambungan kesihatan pesakit, seperti mereka yang menghidap talasemia dan wanita bersalin.

 “Saya merayu kepada rakyat di negeri ini supaya tampil dan membantu menderma darah di pusat-pusat tabung darah hospital berdekatan,” katanya pada sidang media harian COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata pada masa ini Sabah mempunyai 8,307 katil bagi merawat pesakit COVID-19 dengan 909 katil berada di hospital dan 7,398 katil berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Beliau berkata penggunaan katil pada masa ini adalah pada tahap 36.26 peratus yang menunjukkan Sabah pada masa ini bersedia untuk menampung permintaan katil bagi pesakit COVID-19 negeri itu.

“Terdapat penambahan 66 katil masing-masing 26 katil di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan 40 katil di PKRC baharu Dewan Masyarakat Papar,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata kes baharu COVID-19 di seluruh negara adalah 1,032 kes dengan Sabah kekal sebagai penyumbang tertinggi dengan 646 kes.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *