Pengusaha Bot Pelancong Sabah Di Jesselton Point Mohon Moratorium Bayaran Sewa Premis

KOTA KINABALU, 4 Nov : Pengusaha-pengusaha bot pelancong di Sabah yang beroperasi di Jesselton Point di sini, memohon pihak pengurusan terminal bot itu memberi moratarium bayaran sewa premis, berikutan pendapatan mereka terjejas akibat penularan COVID-19.

Jurucakap pengusaha bot pelancong terbabit, Arwin Singkang berkata, mereka sebelum ini hanya diberi potongan sebanyak 70 peratus untuk membayar sewa premis pada April dan Mei, manakala potongan 20 peratus pada Jun oleh syarikat mengendalikan terminal bot Jesselton Point.

“Sekarang ini, maknanya kami kena bayar penuh kerana selepas daripada itu tidak ada lagi (potongan diberikan) walaupun kami sudah banyak kali menyuarakan untuk berbincang mengenainya bersama pihak pengurusan. Selain membayar sewa premis, kami juga perlu membayar stor dan ‘port due’. ‘Port due’ berjumlah RM600 setahun yang perlu dibayar walaupun perniagaan tidak berjalan.

“Jika dilihat pada tahun ini, kami hanya beroperasi dua bulan sahaja. Dalam konteks pelancongan, sebenarnya sejak Disember tahun lepas sudah kurang pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan pengusaha bot pelancongan Sabah dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Dr Aliakbar Gulasan di dataran Jesselton Point, hari ini.

Arwin berkata pertemuan itu bagi menyuarakan hasrat pengusaha dan beliau berharap boleh menjadi ‘jambatan’ menyampaikan permasalahan ini kepada kerajaan negeri, sekali gus membantu mereka yang memerlukan.

Terdapat seramai 251 pengusaha syarikat bot pelancong berdaftar di Jesselton Point yang beroperasi membawa pelancong ke destinasi menarik di Taman Taman Sabah seperti Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Gaya, selain turut mengangkut pelancong ke Pulau Tiga dan Pulau Mengalum.

Sementara itu, Aliakbar ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan menyampaikan segera isu moratorium kepada pengusaha bot pelancong itu kepada kerajaan memandangkan golongan ini turut terjejas susulan sektor pelancongan tidak dapat beroperasi dalam tempoh mencabar ini.

“Mereka tidak ada sumber pendapatan, walaupun mungkin ada simpanan, namun, agak sukar untuk bertahan dalam tempoh lama,” katanya.

Dalam pada itu, Aliakbar turut mencadangkan supaya pengusaha bot terbabit menubuhkan persatuan rasmi sebagai platform memperjuangkan hak serta keperluan mereka pada masa akan datang termasuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri.

Mengenai cadangan membenarkan pengusaha beroperasi membawa pemancing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini, Aliakbar berkata, beliau yakin para pengusaha bot tidak akan melanggar standard Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, jika mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Difahamkan para pengusaha bot di negeri ini menerima banyak permintaan untuk menggunakan perkhidmatan bot mereka untuk pelawat pergi memancing dan sedang dalam proses memohon kebenaran daripada pihak berkuasa.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *