James Puji Tindakan Pantas JKR Selesai Masalah Lif Wisma Pertanian

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah I Datuk James Ratib memuji tindakan pantas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan masalah lif di bangunan Wisma Pertanian Sabah yang telah berlarutan sejak sekian lama. 

Beliau berkata lif bangunan berkenaan sedang dalam projek pembaikan dan dijangka siap Disember ini. 

“Saya juga memuji tindakan pantas yang diambil oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pembantu Menterinya Datuk Limus Jury dalam usaha memastikan masalah ini dapat diatasi dengan segera. 

“Masalah ini saya telah utarakan sebaik sahaja memasuki bangunan ini sebagai pembantu menteri dan hanya beberapa hari selepas itu Kementerian Kerja Raya telah mengambil maklum balas yang cepat walaupun menterinya baru dilantik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Sebelum ini, James telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai masalah lif berkenaan yang telah berlarutan sejak lebih tujuh tahun lepas dan meminta pihak JKR menyelasaikan masalah itu dalam tempoh satu bulan. 

James berkata apabila lif berkenaan siap kelak, kira-kira 400 hingga 500 warga kerja kementerian dan orang ramai yang melakukan sebarang urusan di situ tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan tangga sehingga ke tingkat lapan bangunan berkenaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *