Filipina, Indonesia Enggan Terima Rakyat Mereka Ditahan Di Sabah Akibat Bimbang Covid-19

Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof (tengah) bercakap kepada media selepas memantau PTS Kota Kinabalu di Manggatal, hari ini.

KOTA KINABALU: Jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah sukar dikurangkan kerana Filipina dan Indonesia enggan menerima warganegara mereka, kata Pengarah Majlis Keselamatan Negeri, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof.

“Kita sedang berunding dengan Kedutaan Filipina dan Indonesia supaya mereka menerima tahanan warganegara mereka yang telah disahkan bebas Covid-19.

“Hasil rundingan dengan pihak kedutaan (Filipina dan Indonesia) sebelum ini, kita telah menghantar balik kira-kira 3,000 tahanan, seterusnya pada Mei apabila Presiden Filipina, (Rodrigo) Duterte bersetuju menerima 5,300 tahanan warganegara mereka dengan syarat semua tahanan mesti menjalani swab dan disahkan negatif Covid-19.

”Bagaimanapun, apabila gelombang ke-3 melanda negara ini baru-baru ini, mereka mula menutup semula sempadan,” katanya selepas memantau PTS Kota Kinabalu di Manggatal, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 5,329 PATI di PTS Tawau dan Kota Kinabalu ketika ini, dengan 86% daripadanya ialah rakyat Filipina, 12% dari Indonesia dan selebihnya dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, China serta Pakistan.

“Semua tahanan yang ditempatkan di PTS (ketika ini) adalah mereka yang kita panggil banduan dagang, iaitu tidak memiliki dokumen dan ditahan sementara menunggu pengusiran.

“Beberapa langkah diambil kerajaan agar tiada lagi kemasukan tahanan baru di PTS Sabah, termasuk arahan Kementerian Dalam Negeri menangguhkan semua prosiding mahkamah.”

Katanya, keadaan PTS di Sabah masih terkawal dan pihaknya membuat perancangan bagi mengelakkan kesesakan.

“Kita mendapat 8 dewan di seluruh negeri ini untuk dijadikan pusat kuarantin bagi tahanan PTS.

“Kita juga akan meneruskan rundingan dengan pihak kedutaan negara berkaitan untuk meyakinkan mereka, sekiranya kes Covid-19 sudah melandai, kita akan memulakan penghantaran tahanan ke negara masing-masing.

“Buat masih ini, kita masih boleh menampung tahanan di PTS, sebagai contoh di PTS Kota Kinabalu, kita ada 2 blok simpanan untuk dijadikan blok pengasingan, begitu juga PTS di Tawau.”

Semalam, 341 kes Covid-19 dicatatkan di Kota Kinabalu, dengan 229 kes daripada kluster PTS Manggatal, yang merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan mendadak kes di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *