510 Tahanan PTS Kota Kinabalu, Tawau Positif COVID-19

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof (kiri) pada sidang media di luar pekarangan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu di Menggatal.

KOTA KINABALU: Seramai 510 tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu dan Tawau disahkan positif COVID-19.

Mereka antara 3,124 tahanan yang menjalani saringan bermula 30 Oktober di PTS Kota Kinabalu dan 2 November bagi PTS Tawau.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pihaknya sudah mengambil segala langkah yang perlu dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan di PTS.

Katanya, ia termasuk memberhentikan sesi lawatan pihak luar termasuk ahli keluarga tahanan PTS kecuali membabitkan aspek keselamatan, pihak konsul dan kedutaan negara luar.

“Bagi kes positif yang dikesan di PTS Kota Kinabalu dan Tawau, ia membabitkan tahanan baharu yang mendapat keputusan negatif pada ujian saringan pertama dan tidak bergejala.

“Bagaimanapun, selepas ditempatkan di dalam PTS melebihi 14 hari, tahanan mula menunjukkan gejala seperti demam dan batuk sebelum disahkan positif COVID-19. Kes ini masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya pada sidang media di PTS Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Sharifah berkata, pelbagai tindakan sudah diambil termasuk mewujudkan pengezonan blok dan mengasingkan tahanan mengikut kategori.

Katanya, pihak MKN juga turut dalam proses penilaian keperluan ‘makeshift treatment centre’ (MTC) bagi memudahkan pelaksanaan rawatan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagi memutuskan rantaian dan risiko penularan di luar PTS Kota Kinabalu, semua tahanan yang sedang dirawat di hospital dijaga oleh Jabatan Imigresen (Imigresen) Sabah.

“Bagi PTS Tawau, Imigresen Tawau membantu kawalan keselamatan bagi orang tahanan yang berada di pusat kuarantin atau pusat rawatan tambahan,” katanya.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kesesakan pula, Sharifah berkata, MKN Sabah menggesa pengaktifan segera pusat kuarantin tahanan PATI untuk pengasingan antara tahanan mengikut kategori bagi menghentikan penularan wabak berkenaan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *