Imigresen Ambil Alih Empat PTS Di Sabah

Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal, Kota Kinabalu. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah yang sebelum ini di bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen berkuat kuasa 1 Januari depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Empat PTS itu adalah di Papar, Menggatal, Tawau dan Sandakan.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Keempat-empat PTS itu lebih popular dikenali sebagai ‘rumah merah’ yang kini ditadbir MKN, akan diletakkan secara rasmi di bawah Jabatan Imigresen. Oleh itu, apabila Imigresen mengambil alih nanti maka peruntukan kerajaan untuk PTS yang sebelum ini disalurkan kepada MKN akan disalurkan kepada Imigresen.

“Dari segi perjawatan pula, pegawai dan anggota yang terbabit ketika ini akan berada di bawah pentadbiran Jabatan Imigresen dan bukan lagi MKN,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menguruskan beberapa isu yang membabitkan perjawatan seperti perpindahan pegawai dan anggota MKN ke Imigresen.

Khairul Dzaimee berkata, selepas ini, MKN tidak lagi terbabit dalam proses pengusiran.

“Proses pengusiran ini dari segi pengangkutan, penyewaan feri dan lain-lain semuanya diuruskan oleh MKN ketika ini. Selepas ini, semuanya akan diambil alih oleh Imigresen,” katanya.

Beliau berkata antara tujuan atau objektif penyerahan itu ialah untuk melancarkan lagi operasi PTS memandangkan terdapat dua agensi yang menguruskan premis sama.

“Walaupun kerjasama antara MKN dan Imigresen berjalan dengan baik sejak 15 tahun lalu, akan tetapi ada beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam operasi harian.

“Jadi apabila Imigresen mengambil alih selepas ini, saya percaya ia akan menjadi lebih lancar dan lebih selaras dan ini tidak bermaksud MKN akan lepas tangan. Mereka akan tetap membantu Imigresen dan isu pendatang tanpa izin ini sebenarnya masih lagi ditakrifkan sebagai isu keselamatan dan ia masih lagi menjadi kebimbangan kepada MKN,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *