Covid-19: Remaja 14 Tahun Antara 12 Kematian Di Sabah

KOTA KINABALU: Remaja lelaki berusia 14 tahun antara 12 kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini, iaitu yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Pesakit yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini mempunyai penyakit tibi meningitis dan hidrosefalus dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes kematian hari ini dilaporkan di Sabah. Daripada 12 kes ini, empat kes melibatkan bukan warganegara dan lapan kes babitkan warganegara.

Daripada jumlah itu, lapan kes kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, dua kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan satu kes masing-masing di Hospital Kudat dan Hospital Tawau.

Kesemua pesakit itu berusia 14 hingga 80 tahun dan kebanyakan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

Dengan 12 kematian terbaru ini, ia menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 263 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 131 kes.

Untuk hari ini, daripada 1,054 kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan, 14 kes adalah kes import dan selebihnya 1,040 adalah jangkitan tempatan.

Hari ini, sebanyak 678 kes positif baharu atau 64.3 peratus dilaporkan di Sabah sementara, sebanyak 81 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebanyak dua kluster baharu dilaporkan di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 875 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 23,995 kes.

Tambahan 1,054 kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 34,393 kes. Sebanyak 10,135 kes aktif dengan 94 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *