Tiada Keperluan Wujud Pusat Rawatan, Kuarantin Di Pulau Omadal, Kata Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, bantuan bakul makanan kepada penduduk di Pulau Omadal telah disegerakan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Semporna.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk mewujudkan pusat rawatan atau kuarantin di Pulau Omadal, Semporna.

Katanya, setakat ini 34 individu dari kawasan berkenaan disahkan dijangkiti Covid-19 dan dihantar untuk menerima rawatan dan menjalani kuarantin di Bubul Ria, Semporna.

”Sementara itu penduduk yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

”Buat masa ini, tiada keperluan untuk mewujudkan pusat kuarantin dan rawatan di Pulau Omadal, Semporna,” katanya pada sidang media yang dibuat menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Masidi yang juga menteri kewangan 2 berkata, bantuan bakul makanan untuk penduduk di Pulau Omadal juga telah disegerakan oleh kerajaan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Semporna.

Semalam, Menteri Kanan (keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang mengenai keperluan untuk mewujudkan pusat kuarantin di pulau tersebut.

Ia susulan dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) enggan mengambil risiko mengurus pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai dokumen, namun menetap di pulau berkenaan.

“Ini membabitkan individu tidak berdokumen dan ia bukan semata-mata tanggungjawab KKM.

“KKM akan ambil tindakan terhadap mereka yang didapati positif Covid-19 dengan mengadakan saringan. Tetapi apabila membabitkan warga asing tidak berdokumen, Jabatan Imigresen (JIM) perlu dilibatkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain Masidi berkata, sehingga hari ini, sebanyak 6,139 sampel ujian Covid-19 masih tertunggak di Sabah.

”Kesemua sampel itu masih menunggu untuk diproses, termasuk yang dihantar ke makmal swasta.

”Kapasiti makmal kini adalah di tahap maksimum. Ia lebih cepat sekarang, tetapi masih ada yang tertangguh. Kita harap pihak hospital akan dapat memprosesnya dalam masa beberapa hari ini,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *