Ramai Sokong Idea Najib Keluar Akaun Satu KWSP

Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR: Cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan RM10,000 daripada akaun satu memberi sinar baharu bagi mereka yang terkesan dengan impak koronavirus (Covid-19).

Rata-rata melihat idea itu cukup bernas dalam membantu meringankan beban rakyat yang kehilangan pekerjaan, dipotong gaji dan musibah bertimpa lain.

Lihat saja komen netizen di media sosial yang berkaitan KWSP, majoritinya menyokong saranan Najib itu kerana wang yang dimohon adalah milik pencarum dan bukannya wang orang lain.

Jika alasan KWSP akan kekurangan dana besar jika membenarkan pengeluaran akaun satu, Najib menjelaskan bahawa pengeluaran tersebut hanya 4.9 peratus daripada jumlah aset KWSP yang bernilai RM929.64 bilion pada 30 Jun 2020.

Jika alasan untuk tidak membenarkan pengeluaran itu bagi mengelakkan simpanan hari tua terhakis, maka ramai pencarum berpandangan krisis depan mata yang dihadapi kini perlu diatasi terlebih dahulu berbanding memikirkan masa depan yang belum pasti.

Mereka berpandangan, lebih baik wang simpanan itu digunakan untuk menyelamatkan situasi semasa daripada persediaan untuk hari tua yang belum tentu masih bernyawa.

Pencarum sebenarnya ambil berat soal masa depan, tetapi situasi yang berlaku ketika ini lebih mencabar.

Tambahan pula, pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia khasnya adalah yang paling besar impaknya hinggakan ramai peniaga gulung tikar, pasar raya menjadi lengang dan macam-macam lagi kesan yang tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini.

Idea dilontarkan Najib juga disertakan langkah pemulihan di mana pencarum perlu meningkatkan jumlah simpanan apabila ekonomi kembali pulih.

Kini semua keputusan di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan KWSP untuk mempertimbangkan semula idea tersebut.Seperti kata Najib, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.-

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *