PKPD Di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu

Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah bermula 3 hingga 16 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 1,820 tahanan dan 114 kakitangan di pusat tahanan itu akan terbabit dalam PKPD itu.

Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama dengan PKPD yang dilaksanakan sebelum ini seperti membabitkan larangan keluar masuk.

“Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendengar cadangan dan permohonan daripada MKN Sabah mengenai permohonan melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah.

“Sehingga 30 Oktober 2020, seramai 261 tahanan serta kakitangan sudah disaring dan 56 tahanan didapati positif Covid-19.

“Bagi menyekat penularan Covid-19 di kalangan tahanan dan kakitangan penjara, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu bermula 3 hingga 16 November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-228 dan hari ke-144 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, katanya, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD Penjara Alor Setar, Kedah mulai esok.

“Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPD di Penjara Alor Setar bermula 5 Oktober hingga 18 Oktober 2020, sebelum dilanjutkan sehingga 1 November iaitu hari ini.

“Saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 1 November menunjukkan tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh tujuh hari.

“Justeru, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD Penjara Alor Setar, Kedah mulai esok,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *