Pengeluaran RM10,000 KWSP Wajar Dibenarkan Secara Bersyarat

Pemangku Presiden Dewan Perdagangan & Industri ASEAN (DPIA). 

PETALING JAYA: Cadangan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan menerusi bayaran secara ‘one off’.

Pemangku Presiden Dewan Perdagangan & Industri ASEAN (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan, berkata kerajaan perlu membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan dan caruman KWSP mereka namun berdasarkan kriteria tertentu.

“Cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM10,000 amat munasabah dan berguna bagi peniaga dan orang awam yang berdepan krisis kewangan akibat COVID-19.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan ini dengan hanya membenarkannya kepada mereka yang betul-betul terjejas seperti hilang pekerjaan, pendapatan dipotong dan pendapatan di bawah RM4,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sohaimi berkata keresahan segelintir rakyat wajar dipertimbangkan ketika mereka kini dalam keadaan genting kesan daripada COVID-19.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong pandangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang senada dalam perkara berkenaan.

“Kita tahu ada ramai golongan pekerja yang terjejas sehingga hari ini akibat kesan COVID-19.

“Dalam keadaan kecemasan seperti ini ia wajar untuk dibantu dengan wang mereka sendiri,” jelasnya.

MTUC dalam kenyataannya melahir kebimbangan kerana ada kemungkinan pekerja terpaksa meminjam dengan institusi kewangan, bahkan mungkin kepada ‘along’ kerana terhimpit untuk meneruskan kehidupan harian. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *