ESSCOM Usir 1,995 PATI Di Tawau

Anggota Esscom melaksanakan rondaan Ops Cegah Pati di kawasan perairan Tawau.

TAWAU: Seramai 1,995 pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur antara dua hingga 60 tahun diusir dan dihalang memasuki daerah ini menerusi Operasi Cegah PATI (OCP) Laut bermula April sehingga Oktober lalu.

Ketua Staf Operasi Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Laksma (M) Hamid Mohd Amin, berkata kesemua mereka berjaya dikesan ketika cuba memasuki daerah ini melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan batu 1 hingga batu 5 Jalan Apas, dekat sini.

Katanya, OCP Laut yang diaktifkan pada awal April lalu adalah operasi bersepadu khas membabitkan pelbagai agensi keselamatan yang ditubuhkan khusus bagi mengekang kemasukan PATI dari negara jiran termasuk Indonesia dan Filipina.

“Tindakan kita pada masa kini ialah mengusir atau mengarahkan mereka berpatah balik ke negara asal masing-masing bagi mengekang dan memutuskan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan PATI,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP laut akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan daerah ini terutamanya kemasukan PATI dari Pulau

Sebatik, Indonesia bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya, bagi tujuan itu tiga kapal dan lapan bot telah diatur gerak dalam operasi ini membabitkan kekuatan anggota seramai 9 pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat.

Dalam pada itu, Hamid turut menyeru kepada semua komuniti maritim pesisir pantai memberikan kerjasama dengan menyalurkan makluamat berkaitan kegiatan pencerobohan oleh PATI melalui laluan haram (tidak diwartakan) kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.

“Komuniti maritim juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong laut yang cuba menyeludup masuk PATI ke daerah ini.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat dan melindungi PATI termasuk bersekongkol dengan tekong laut,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *