COVID-19: 30 Peratus Pelarian, Penduduk Kampung Muslim Perlu Jalani Ujian

Foto BERNAMA

LABUAN, 1 Nov: Sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk dan pelarian Filipina di penempatan air setinggan Kampung Muslim di sini, akan menjalani ujian COVID-19 selepas kluster baharu, Kluster Titian dikesan di kawasan itu Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata beberapa kumpulan petugas penjagaan kesihatan telah dimobilisasi ke Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu setiap hari untuk menjalankan ujian terhadap penduduk.

“Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan penduduk di penempatan itu menjalani ujian COVID-19 seramai yang boleh, sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah penduduk.

“Satu-satunya cara untuk memasuki rumah-rumah di kawasan setinggan itu ialah jambatan kayu lama yang sudah reput dan menunggu masa untuk runtuh, dan ini yang melambatkan proses saringan,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah berkata kira-kira 3,200 penduduk dan pelarian tinggal di penempatan itu.

Dr Ismuni berkata penempatan Kampung Muslim dibahagi kepada empat blok – Kampung Muslim Haji Boy, Sebor Laut, Bakau dan Bugis Bajau.

“Kami perlu menggunakan bot untuk memasuki kawasan berkenaan dan ini sangat mencabar, tetapi kami tiada pilihan, kami harus pastikan penduduk di kawasan itu diuji secepat yang mungkin,” katanya dan menambah kawasan itu yang dipenuhi oleh warga asing akan berada di bawah pengawasan ketat semasa pandemik COVID-19 ini walaupun kes di sana mungkin rendah.

Labuan merekodkan kes baharu setiap hari sejak 28 Sept lepas dengan kes kumulatif sebanyak 469 setakat semalam.

Labuan, hab minyak dan gas serta pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia itu kini dalam senarai 10 teratas yang merekodkan banyak kes COVID-19 dengan lima kluster aktif iaitu Saguking yang mencatat 231 kes, Limbungan (28), Bina (22), Titian (12) dan Bundle (31 kes).- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *