Cawangan KWSP Di Sabah Dibuka Semula Esok

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangannya di seluruh Sabah bermula esok, dari jam 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, cawangan KWSP Tawau bagaimanapun hanya akan dibuka semula pada 4 November.

“KWSP mengambil pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.

“Sebarang kesulitan yang timbul daripada pengurangan perkhidmatan ini adalah dikesali, namun kesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir di cawangan KWSP setiap hari dari pelbagai lokasi perlu menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu.

KWSP berkata, walaupun jumlah kes COVID-19 meningkat, keputusan menyambung perkhidmatan tertentu di cawangan yang dinyatakan adalah untuk membantu ahli yang memerlukan akses kepada simpanan mereka.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan ahli, majikan, dan kakitangannya sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan beberapa langkah.

Antara lain, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman web www.kwsp.gov.my/janjitemu.

Ahli hanya boleh berurusan untuk perkhidmatan tertentu di cawangan Sabah bagi pengeluaran umur 50/ 55/ 60 tahun dan pengesahan cap ibu jari e-Pengeluaran.

KWSP berkata, semua ahli perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premisnya dan dikehendaki mematuhi langkah penjarakan fizikal yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di premis KWSP. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *