Faktor Geografi, Infrastruktur Sukarkan Usaha Urus Covid-19 Di Sabah

Aktivis Borneo Comrade di Kampung Air Hujung, Semporna.

PETALING JAYA: Dengan penularan wabak Covid-19 bertambah buruk di Sabah, banyak pihak khuatir hospital di negeri itu beroperasi dengan kapasiti maksimum dan barisan hadapan bergelut untuk menjangkau penduduk terpencil.

NGO dan individu melancarkan kempen kutipan dana melalui Twitter sebagai tambahan usaha jabatan kesihatan negeri dan barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tugas.

Pengarah Pembangunan Program Strategik Mercy Malaysia Hafiz Amirrol memberitahu FMT, ramai penduduk terutama yang berada di kawasan tetpencil terdesak memerlukan bantuan.

“Jurang dari segi sumber sentiasa ada,” katanya, “tetapi setiap orang daripada masyarakat dan agensi kerajaan bekerja keras mengurangkan jurang itu. Terdapat juga individu menyumbangkan usaha mereka.”

eliau berkata, Mercy Malaysia mendapat sokongan kuat daripada penderma, terutama pada fasa penularan awal Covid-19.

Sebilangan individu melalui Twitter mengutip dana bagi mendirikan fasiliti sementara untuk menempatkan pesakit kerana beberapa hospital berdepan kesesakan dan kekurangan peralatan.

Salah satunya, Shahrizal Denci di Ranau, menyatakan di Twitter dana yang dikumpulkan bertujuan mendirikan sebuah bilik pengasingan di daerah Beluran.

Beliau berkata, wad pengasingan sementara itu digunakan untuk menempatkan pesakit sebelum mereka dibawa ke hospital khas bagi merawat pesakit Covid-19 yang terdekat, dalam kes itu Hospital Sandakan yang memakan masa 2 jam perjalanan menggunakan kereta.

Beberapa hospital kecil tidak dilengkapi bilik pengasingan, yang juga dikenali sebagai bilik tekanan negatif, yang amat penting dalam usaha membendung penularan virus ke bahagian lain melalui udara.

“Hospital di Beluran adalah kecil,” kata Shahrizal. “Kami cuba mengumpul RM15,000 dan kami hampir mencapai matlamat itu. Setakat ini, kami sudah mengutip RM12,701.

“Mereka ditempatkan di wad pengasingan sebelum dihantar ke Hospital Sandakan tetapi ia memakan masa kerana mereka dihantar dengan ambulans, bukan ramai boleh muat sekali gus. Apabila mereka tiba di Sandakan, tiada jaminan mereka dapat masuk.”

Isu berkait infrastruktur, geografi dan pengangkutan sering berlaku dalam pengendalian Covid-19 di Sabah.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam kenyataannya baru-baru ini berkata masalah itu akan menjadi sangat mencabar jika terdapat pesakit dalam keadaan kritikal.

Kementerian Kesihatan berkata, terdapat 4,686 katil di 25 hospital di Sabah setakat Selasa. Katanya, 9 daripada hospital itu dijadikan hospital Covid-19 dan terdapat 1,264 katil, dengan 59% daripadanya digunakan.

Kementerian juga memaklumakan, terdapat 7,242 katil di pusat rawatan dan kuarantin Covid-19 berisiko rendah, dengan 43% daripadanya digunakan.

Tetapi sumber daripada peringkat bawahan berkata, terdapat kekurangan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital yang terletak di zon merah.

MMA berkata, usaha menghantar pesakit Covid-19 Peringkat 4 dan 5 ke hospital ditetapkan adalah mencabar dengan mengambil kira faktor geografi di Sabah.

Seorang aktivis yang bekerja di kepulauan di luar Semporna berkata, seseorang memerlukan bot untuk mencapai komuniti luar bandar yang kecil di situ.

Mukmin Nantang yang mengetuai NGO Borneo Comrade berkata, jumlah penduduk di perkampungan itu tidak selaras dengan statistik rasmi. Katanya, banyak rumah dibahagikan kepada unit perumahan lebih kecil, dengan beberapa keluarga tinggal di situ.

Beliau berkata, terdapat banyak salah faham terhadap virus dalam kalangan penduduk perkampungan itu kerana mereka tiada peranti atau penyambungan untuk menerima atau mencari maklumat tepat.

Salah faham itu menimbulkan ketakutan, terutama dalam kalangan mereka yang tiada dokumen dan kebanyakannya melarikan diri daripada pegawai kesihatan untuk mengelak disaring apabila perkampungan mereka dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Mukmin bimbang, mereka menyebarkan virus ke perkampungan lain dan kepulauan berdekatan.

Beliau berkata, penduduk di situ diberitahu keputusan positif akan menyebabkan mereka dikurung manakala mereka yang tiada dokumen takut akan ditahan.

“Tiada kenyataan jelas daripada pihak berkuasa untuk memaklumkan yang mereka boleh disaring tanpa dihukum kerana status imigresen,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa harus menjalankan kempen kesedaran dengan menyasarkan komuniti terbabit dan memaklumkan maklumat mengenai proses saringan penyakit itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *