Cadangan Pas Kerja Sementara Hanya Untuk Semenanjung, Bukan Sabah – Jeffrey

Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan menyelar catatan sebuah blog yang menyebut bahawa kerajaan persekutuan akan memberi pas khas kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

Jeffrey, yang juga presiden STAR berkata, catatan blog berkenaan yang tular dalam media sosial mengelirukan dan berniat jahat.

Blog itu juga menggunakan gambar beliau dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai imej utama walaupun ia tiada kaitan sama sekali dengan kandungan catatan tersebut.

“Perdana menteri hanya merujuk kepada keadaan di semenanjung. Pas kerja sementara itu tidak sama dengan pas sementara Sabah (PSS) yang dipertahankan oleh Warisan pada awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata cadangan yang dilontarkan Muhyiddin itu bertujuan memberi pas kerja sementara kepada PATI yang berada di Malaysia sebelum ini bagi membolehkan mereka bekerja di ladang kelapa sawit dan getah.

Beliau berkata, ini membolehkan mereka bekerja selama 1 atau 2 tahun sebelum digantikan dengan pekerja asing yang sah.

Muhyiddin semalam berkata Putrajaya bercadang mengeluarkan pas pekerja sementara kepada PATI, yang kebanyakannya warga Bangladesh dan Indonesia yang berada di negara ini untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing pada masa ini.

Muhyiddin berkata, beliau sedar isu pekerja asing terutama di sektor perladangan seperti kelapa sawit dan getah mengalami masalah kekurangan pekerja yang ketara.

Muhyiddin juga berkata beliau telah mengarahkan menteri dalam negeri serta menteri tenaga dan sumber asli mengkaji kaedah pelaksanaan langkah itu dilakukan tanpa menimbulkan masalah lain pada masa depan.

Jeffrey berkata Sabah mempunyai dasar tersendiri berhubung tenaga buruh dan imigresen dan kerajaan persekutuan secara berperlembagaan tidak boleh campur tangan.

Beliau berkata, keadaan di Sabah berbeza kerana kadar pengangguran di negeri itu sudah sedia tinggi dan langkah memberi pas kerja khas kepada PATI akan merampas peluang rakyat Sabah mendapat pekerjaan.

“Kerajaan baru Sabah tidak boleh mengulangi kesilapan Warisan.

“Rakyat Sabah telah menyuarakan pendirian mereka dengan jelas bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan perkara karut seperti ini,” katanya, sekali gus menasihati pembangkang supaya menggunakan masa mereka dengan lebih baik dengan mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya berhenti bermain politik.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *