44 Individu Di Kompaun Ingkar PKPB Di Beluran

Pasukan pemantau IPD Beluran sedang memeriksa pematuhan SOP di sebuah restoran di Telupid.

BELURAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan penguatkuasaan pematuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini sejak beberapa minggu yang lepas.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata pihaknya telah menubuhkan lima pasukan pemantau bagi tiga zon iaitu Beluran, Telupid dan Paitan.

“Pasukan pemantau telah diarahkan untuk menjalankan tugas sekatan jalan raya dan juga memantau pematuhan SOP di kalangan masyarakat setempat.

“Penugasan ini dijalankan setiap hari bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata mereka yang ingkar untuk mematuhi SOP yang ditetapkan akan ditahan atau dikenakan kompaun tanpa kompromi.

 Pihak polis yang dibantu oleh anggota RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memeriksa sebuah kenderaan dalam Sekatan Jalan Raya di Telupid.
Pihak polis yang dibantu oleh anggota RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memeriksa sebuah kenderaan dalam Sekatan Jalan Raya di Telupid.

“Setakat ini, sebanyak 44 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu atas kesalahan tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Kasim memberitahu diantara kesalahan yang dikenakan kompaun adalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tidak menjaga penjarakan sosial dan tidak menyediakan atau menyelenggara buku daftar pelanggan dengan betul.

Selain itu, Kasim berkata setiap hari akan menerima permohonan rentas daerah daripada penduduk sekitar atas tujuan mendapatkan keperluan harian bagi peniaga dan pergerakan atas urusan bank bagi individu.

“Hampir semua permohonan ini memohon untuk menuju ke Daerah Sandakan memandangkan ke semua kemudahan ini terdapat di daerah tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata tidak semua permohonan rentas daerah akan disokong melainkan mereka mempunyai asas yang kukuh bagi menyokong permohonan perjalanan mereka.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan, mereka akan diarahkan berpatah balik apabila cuba untuk melepasi sekatan jalan raya yang ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.  

Kasim berkata pihak IPD Beluran meminta agar masyarakat Beluran memberi kerjasama dengan  mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan dan menghadkan pergerakan yang perlu sahaja bagi membendung penularan COVID-19 yang sedang kita hadapi.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *