Terpaksa Beri Anak Menyusu Air Teh, Penduduk Gesa SOP PKPD Dipermudah

PKPD di PPR Taman Harmoni, Sandakan

SANDAKAN: Terpaksa berikan anak kecil menyusu air teh.

Itu antara langkah terpaksa diambil penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan dalam berjimat-cermat susulan kekurangan bekalan susu bayi.

Ia terpaksa dilakukan peniaga kuih Nurul Jannah @ Neng Abd Hamid kerana tidak dapat keluar membeli susu formula selepas dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Bercerita mengenai keadaan mereka di sana, Nurul berkata mereka dibenarkan membeli barang dari luar namun prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai disifatkan “sangat sukar

“Sekarang ini kerajaan ada bagi kemudahan untuk penghantaran barang pada hari Selasa dan Jumaat, tapi sistem mereka macam susah kami mahu terima sebab perlu melalui orang tengah.

“Jadi kalau barang itu berisiko juga untuk jangkitan, sebab semua pegang barang itu, ke sana ke mari sudah diangkut oleh orang berganti-ganti,” kata Nurul Jannah.

Menurutnya, pada hari pertama PKPD, mereka diberikan bantuan beras dan keperluan asas memasak lain, tetapi kebanyakannya sudah habis.

“Bantuan itu sudah ada diberi, tapi kalau susu dengan lampin budak tidak diberi. Jadi kalau tidak boleh keluar, macam mana kami mahu membeli.

“Lagi satu ada juga orang tiada wang tunai, kalau tiada duit macam mana mahu membeli?” katanya lagi.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa memberi anaknya minum teh supaya boleh berjimat cermat.

“Kalau sudah tiada susu nak buat macam mana… terpaksalah minum teh, minum air biasa.

“Kalau macam kami, kena jimatlah. Pagi saja dia minum susu, lain masa dia minum teh, sebab macam mana mau keluar, tak boleh!” kata Nurul Jannah lagi.

Keluhan sama turut disuarakan kalangan ibu lain yang turut mengadu sudah kehabisan bekalan susu kanak-kanak dan lampin pakai buang.

Menurut Rosliah Jem yang bertugas sebagai kerani, mereka dibenarkan membeli barang dari luar dan barang itu dihantar ke pagar sebelum dikumpul dan diambil ketua blok.

Namun, ia menyebabkan ikan atau makanan basah yang mereka beli kebanyakkan jadi buruk kerana terbiar beberapa jam di luar.

“Hari pertama kami ada dapat bantuan iaitu beras 15 kilogram, barang-barang dapur macam telur satu papan, tepung dan minyak.

“Tapi benda ini tidak bertahan lama, hanya dua minggu. Jadi kami ikhtiarkan untuk hantar barang keperluan lain seperti ikan dan sayur.

“Hari pertama telur sudah habis, begitu juga tepung. Cuma beras, gula dan minyak masih ada.

“Lauk seperti ayam, ikan, sayur-sayuran memang tidak ada di sini,” kata Rosliah.

Menurut Rosliah, kelewatan mengedarkan barang keperluan turut menyebabkan barang-barang yang dihantar hampir tidak boleh digunakan.

“Setiap blok ada ketua blok yang datang ambil dan tiga orang AJK dan bayangkan dalam empat orang ini menghantar barang satu blok.”Barang satu blok bukan sikit, ramai.

Satu tingkat ada 20 unit rumah.”Barang yang saya terima setakat ini tak berapa rosaklah.

Cuma yang saya dapat macam buah tu ada lemau dan layu.”Yang dalam kotak ini ada barang seperti telur yang sudah rosak, ikan sudah busuk,” kata Rosliah lagi.

Justeru, mereka berharap SOP penghantaran barang dari luar dipermudahkan dan mereka dibenar turun mengambil barang itu sendiri di pagar utama.

Pada masa sama, penduduk berharap mereka dibenarkan keluar mengambil wang di bank kerana sudah kehabisan duit untuk pesanan barang dan membuat pembayaran.

Selain itu, penduduk juga berharap agar kedai runcit bergerak dapat segera dibuka di PPR Taman Harmoni untuk kemudahan penduduk.PPR itu dikenakan PKPD bermula 23 Oktober hingga 5 November.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sekitar 60 penduduk Taman Semarak di Tawau mengadakan perhimpunan aman bagi memohon bantuan bakul makanan disegerakan.

Mereka mendakwa pelaksanaan PKPD sejak 26 Oktober hingga 8 November ini memberi kesan kepada penduduk di kawasan tersebut berikutan kekurangan keperluan dapur.

Selain itu, penduduk juga berang kerana syarat dikenakan untuk membeli barang dapur dilihat tidak relevan.

Malah ahli keluarga dari luar yang ingin menghantar bekalan makanan juga perlu melalui prosedur yang sangat ketat.

Bantuan yang dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana(PKOB) daerah Tawau sepatutnya diagihkan pada tengah hari Khamis namun sehingga petang bantuan tersebut tidak sampai.

Ini menyebabkan penduduk tidak berpuas hati dan mengadakan perhimpunan aman bagi memohon tindakan segera daripada PKOB untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.

PKOB Tawau dalam pada itu dilapor telah mengadakan mesyuarat tergempar pada jam 8 malam Khamis di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau bagi membincangkan masalah tersebut. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *