Remaja 17 Tahun Langgar Arahan Kuarantin Di Beaufort Dikompaun

Remaja 17 tahun dikompaun kerana ingkar arahan kuarantin di rumah. – Gambar Ihsan PDRM

BEAUFORT: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dikompaun kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas dikesan keluar ke rumah neneknya di Kampung Lumat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata pihaknya yang menerima maklumat mengenai tindakan itu jam 10.44 pagi terus mengesan remaja itu di rumahnya.

Katanya, hasil siasatan, remaja terbabit masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya di Lumat Saujana, selama 14 hari dengan memakai gelang kuarantin.

“Dia dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan keluar daripada rumah untuk ke rumah neneknya bagi urusan peribadi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, remaja berkenaan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) 2020.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang kuarantin berada di tempat awam.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *