Sabah Terima Keputusan Dengan Hati Terbuka

Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto – Foto ihsan liputan6.com.

KUALA LUMPUR: ‘Penyingkiran’ Sabah daripada saingan Piala Malaysia musim ini selain kempunan untuk menutup kempen Liga Super dengan sempurna pasti menjadi situasi yang menyedihkan buat skuad Tambadau itu.

Namun ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto menerima dengan hati terbuka selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak meluluskan permohonan laluan khas pasukan untuk mengharungi aksi terakhir Liga Super bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Meskipun sudah bersedia untuk aksi terbabit dan juga Piala Malaysia yang akan bermula bulan depan namun pengendali dari Indonesia itu menganggap nasib tidak menyebelahi pasukan mereka.

Katanya, dia percaya keputusan yang diambil MKN itu adalah demi mengutamakan keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan khususnya di Sabah ketika ini.

“Tentulah keputusan ini masih mengejutkan kami semua tetapi saya bersama pemain memahami hal ini kerana semestinya kita harus tetap mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh MKN dan pihak kerajaan. Jadi sebagai warganegara yang prihatin, kami menerima keputusan ini.

“Apabila MKN mengeluarkan arahan ini yang tidak membenarkan kami ke Semenanjung, pastinya mereka ada alasan tersendiri dan semestinya ini adalah demi menjaga keselamatan lebih banyak orang. Kami ikhlas menuruti arahan yang dikeluarkan itu.

“Namun, ini tidak melunturkan semangat kami untuk memastikan kami terus kuat bagi mengharungi musim depan. Saya akui semua pemain masih sedih kerana tidak dapat beraksi dan terpaksa melupakan Piala Malaysia.

“Tetapi tidak mengapalah, yang penting adalah agar pandemik COVID-19 ini cepat berlalu dan saya mohon doa orang ramai agar keadaan lebih baik di sini,” katanya.

Sebagai rekod, selepas tidak mendapat lampu hijau daripada MKN, ini bermakna Sabah juga tidak akan terbabit dalam saingan Piala Malaysia selepas melihat tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari.

Ini kerana sekiranya mereka tiba di Semenanjung Malaysia pada 29 Oktober, ia sudah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama kejohanan tertua yang bermula pada 6, 7 dan 8 November. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *