Kit Siang Gesa Segerakan Pakej Bantuan Khas Buat Rakyat Sabah

Lim Kit Siang berkata, Putrajaya tidak boleh memberi gambaran kepada rakyat Sabah seolah-olah mereka dibiarkan mempertahankan diri secara sendiri.

PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Putrajaya segera mengumumkan pakej bantuan bencana kemanusiaan khusus buat rakyat Sabah yang terjejas dengan gelombang ke-3 Covid-19 tanpa perlu menunggu pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov ini.

“Keadaan di Sabah yang amat terdedah kepada Covid-19 langsung tidak boleh diterima, ia bertentangan janji-janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan lepas, iaitu untuk memberikan perhatian serius terhadap masalah dan keperluan rakyat Sabah.

“Ia juga memberi gambaran kepada rakyat Sabah, seolah-olah mereka dibiarkan mempertahankan diri secara sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysia mencatatkan 801 kes baru Covid-19, dengan jumlah kes di Sabah kekal paling banyak berbanding negeri lain, iaitu 546 kes atau 68.2%.

Hari ini, Lim berkata, ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab jika Putrajaya terus menafikan hak rakyat Sabah menerima pakej bantuan khas secepat mungkin.

Baginya, lonjakan kes di Sabah berpunca daripada pengabaian kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur di negeri itu sebelum penularan Covid-19.

“Masanya sudah tiba untuk Putrajaya berikan bantuan kecemasan kepada Sabah, janganlah kita lupa hasil minyak dan gas di Sabah sudah menyumbang berbilion ringgit kepada pendapatan negara.

“Putrajaya perlu bertanggungjawab terhadap peningkatan kes mendadak daripada 426 kes dan 8 kematian di Sabah pada 1 Sept kepada 13,701 kes dan 114 kematian setakat semalam. Peningkatan kes sebanyak 32 kali ganda dan 14 kali ganda kematian.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *