Wakil Rakyat Kerajaan, Pembangkang Kena Sokong Belanjawan 2021

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu bersatu hati untuk sama-sama menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata belanjawan itu penting bagi memastikan usaha membantu rakyat, menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara tidak terjejas.

“Kita berharap bukan sahaja Ahli Parlimen kerajaan menyokong Belanjawan 2021 tetapi pihak pembangkang juga perlu menyokongnya.

“Jika mereka (pembangkang) berjiwa besar dan menyelami denyut nadi rakyat ketika negara berdepan dengan cabaran penularan COVID-19 dan kegawatan ekonomi, mereka wajar menyokong demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata di pihak UMNO, beliau yakin semua Ahli Parlimen parti itu termasuk dua dari Sabah menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain Bung Moktar selaku Ahli Parlimen Kinabatangan, seorang lagi Ahli Parlimen UMNO dari Sabah ialah Datuk Mohamad Alamin (Kimanis).

Bung Moktar juga berkata, Belanjawan 2021 penting dan mesti diluluskan kerana ia mengandungi hala tuju kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, desakan UMNO meminta Perikatan Nasional (PN) melihat sekutu dalam kerajaan secara adil dan saksama adalah sesuatu yang wajar.

“Ini adalah keputusan keseluruhan parti iaitu parti melihat bahawa perlu ada semakan semula atau pembaharuan dalam semua aspek.

“Ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah satu pasukan dalam kerajaan dan sudah tentu perlu ada perjanjian yang jelas antara semua parti,” katanya merujuk kepada gesaan UMNO agar prinsip kerjasama dalam PN ditambah baik.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah juga menegaskan UMNO tidak mahu Parlimen dibubarkan kerana keutamaan ketika ini adalah untuk menentang COVID-19.

“Pada saya, ini yang penting kerana keutamaan kita ialah menyelamatkan keadaan rakyat yang diserang COVID-19 dan ini penting bahawa kita perlu menyokong apa juga yang baik untuk negara dan rakyat,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *