Taufan Saudel, Molave: Komuniti Maritim Sabah Dinasihat Berhati-Hati

KOTA KINABALU, 28 Okt: Komuniti maritim di Sabah diminta berhati-hati untuk melakukan aktiviti di laut selepas negeri itu menerima tempias taufan tropika Saudel dan Molave yang membadai dari arah barat daya Manila, Filipina dengan kelajuan purata 139 kilometer sejam (km/j) baru-baru ini.  

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Maritim Sabah dan Labuan menerusi kenyataan memaklumkan bahawa pada 26 Okt lepas, Sabah telah menerima tempias taufan Molave yang dilaporkan berada 703 km ke barat laut Kudat.

“Ini menyebabkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter di Sabah dan Barat Labuan dan akan berlarutan sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Komuniti maritim perlu menjaga keselamatan diri kerana keadaan itu amat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. 

Mereka juga dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh pihak Meteorologi Malaysia.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *