Tiada Dalam Senarai e-Kasih Juga Akan Terima Bantuan, Kata Bung

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Bantuan bakul makanan oleh kerajaan negeri mungkin diperluaskan termasuk kepada mereka yang tidak berdaftar dalam program e-Kasih.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Bung Moktar Radin membayangkan perkara itu dalam ciapannya di Twitter, semalam.

Seorang penduduk di Kudat menerima bantuan bakul makanan daripada kerajaan. (Gambar KPMKR Sabah)

“Sebenarnya, bantuan sekarang tidak lagi berpandukan kepada e-Kasih, sesiapa yang terkesan (akibat Covid-19) sudah layak mendapat bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan netizen yang menggunakan akaun bernama “Wash Your Hand!” yang menyatakan ramai penduduk tercicir daripada menerima bantuan kerana tiada dalam senarai e-Kasih.

Sehingga kini, FMT masih menunggu respons daripada Bung berhubung perkara itu.

Sementara itu, sumber kerajaan negeri berkata perkara itu hanya akan diputuskan Rabu ini.

Selain tersenarai dalam senarai e-Kasih, bakul makanan juga diagihkan kepada mereka yang terjejas termasuk penduduk di kawasan dilaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) serta keluarga yang menjalani kurantin.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya dalam kenyataan berkata, sehingga kini sebanyak 90,471 bakul makanan sudah diagihkan kepada penduduk terjejas di negeri ini.

“Bantuan bakul makanan ini diagihkan di 22 daerah termasuk sebanyak 3,172 di 13 daerah hari ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *