Taman Mesra, Taman Mawar Di Sandakan Dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR: Dua lagi lokaliti di Sandakan, Sabah iaitu Taman Mesra dan Taman Mawar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Oktober sehingga 10 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah selama 14 hari itu dipersetujui kerajaan selepas mendengar pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi sidang khas hari ini.

“Mengambil kira peningkatan kes di dua lokaliti itu, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD bermula 28 Oktober sehingga 10 November.

“PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan merangkumi 5,100 unit rumah membabitkan 22,500 penduduk.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama dengan PKPD yang diumumkan di tempat lain,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD secara bersasar di Taman Khazanah Indah, Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu dan FELDA Umas, Kalabakan di Sabah dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November ini.

Menurutnya, KKM masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan sehingga hari ini masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di ketiga-tiga lokaliti berkenaan.

“Atas cadangan MKN Sabah dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh PKPD di tiga lokaliti berkenaan.

“SOP sama seperti diumumkan sebelum ini. Cuma terdapat sedikit kelonggaran iaitu kedai runcit dibenarkan beroperasi pada 6 pagi hingga 6 petang bertujuan memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas seperti susu bayi dan lampin pakai buang.

“Ini kerana barangan itu tidak dibekalkan kerajaan. Sebab itu, kita benarkan pembukaan kedai runcit tetapi penduduk hanya boleh keluar beli barang keperluan dan balik semula ke rumah,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *