Muhyiddin Perlu Letak Jawatan

Mohd Puad Zarkashi

SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangannya untuk mengisytiharkan darurat.

Beliau berkata, penolakan Seri Paduka Baginda terhadap perisytiharan darurat mempunyai dua implikasi.

“Pertama, Yang di-Pertuan Agong menyedari ‘langkah Muhyiddin’ itu hanyalah muslihat politik bukan untuk memerangi koronavirus (Covid-19).

“Di para tiga kenyataan media Istana Negara, dinyatakan….’Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan’.

“Kalau Yang di-Pertuan Agong yakin, kenapa PM (Perdana Menteri) tidak yakin. Apakah PM cuba membohongi Yang di-Pertuan Agong? Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja amat teliti dan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan di entri Facebooknya hari ini.

Katanya, ramai pakar perundangan mengatakan Yang di-Pertuan Agong harus mendengar nasihat Perdana Menteri seperti termaktub dalam Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Tapi nampaknya nasihat Memanda Menteri tidak diterima. Maka di mana kredibiliti seorang Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut menjelaskan situasi yang berlaku di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung dalam suasana emosi apabila pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan menyalahkan dua pemimpin berstatus menteri dalam Kabinet berhubung cadangan tersebut. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *