Covid-19: OKU Antara Tujuh Kematian Di Sabah Hari Ini

KUALA LUMPUR: Sabah mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi hari ini dengan 927 kes daripada keseluruhan 1,240 kes positif baharu yang dilaporkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Kapor.

Sebanyak tujuh kematian dilaporkan di Sabah hari ini dengan masing-masing tiga kematian di Kota Kinabalu, dua di Sandakan, satu di Tawau dan Tuaran.

Kematian di Hospital Tuaran melibatkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya cacat penglihatan (buta).

Mangsa lain berusia antara 27 hingga 90 tahun dan kebanyakan mereka mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Tujuh kes kematian terbaru itu menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 236 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 105 kes.

Sementara, enam kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk satu kes import dari Ukraine.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 27,805 kes. Sebanyak 9,744 kes aktif dengan 94 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 31 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 691 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 17,825 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *