Penyatuan Penyelesaian Terbaik, Bukan Darurat, Kata Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal, berkata penyatuan merupakan penyelesaian terbaik bagi menangani penularan wabak Covid-19, bukannya mengisytiharkan darurat.

Katanya, negara perlu terus melangkah ke depan, namun setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan rakyat kerana kesusahan rakyat adalah musuh sebenar negara ketika ini.

”Keruntuhan ekonomi domestik dan global yang mempengaruhi dan menghancurkan kehidupan setiap rakyat Malaysia adalah musuh sebenar.

”Saya merayu kepada semua pemimpin negara yang dikasihi supaya mengetepikan perbezaan dan bekerja sebagai 1 pasukan untuk mengatasi cabaran terbesar yang dihadapi ketika ini dengan meletakkan Agong, rakyat dan negara sebagai keutamaan berbanding masalah lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna berkata, penyatuan adalah penyelesaian terbaik dalam menghadapi cabaran getir ketika ini.

”Inilah masa kita ketepikan perbezaan, termasuk agama dan bangsa, selain bersatu-padu untuk melawan musuh sebenar.

”Kita mungkin tidak sepakat dalam banyak hal, tetapi inilah masanya kita boleh bersetuju sesuatu perkara, iaitu kita sayang negara kita.

”Semoga Allah memberi kita hikmah dan petunjuk untuk memilih jalan yang betul demi kepentingan negara,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *