PM Akan Menghadap Agong, Mohon Laksana Darurat, Kata Sumber

Sumber memaklumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bergegas ke Pahang untuk menghadap Agong.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, di tengah-tengah perbincangan Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat berikutan situasi semasa Covid-19.

Ketika dihubungi, seorang anggota Kabinet mengesahkan perkara itu kepada FMT, usaha untuk melaksanakan darurat sedang dijalankan. Malah seorang lagi sumber turut mengesahkan perkara itu ketika ditanya FMT.

“Perdana Menteri dalam usaha menghadap Agong,” kata seorang anggota Kabinet yang enggan namanya didedahkan.

FMT difahamkan Agong ketika ini berada di Pahang dan pertemuan itu dijangka berlangsung pada 5 petang.

Bagaimanapun, seorang menteri berkata tidak semua menteri dan pegawai kerajaan bersetuju dengan pengisytiharan darurat kerana kesannya pada ekonomi dan bagaimana rakyat akan terimanya.

Beliau percaya ada kebimbangan akan kemungkinan belanjawan mungkin tidak akan dapat diluluskan.

Jika Belanjawan 2021 tidak lulus, ia akan memberi gambaran ahli Parlimen sudah hilang kepercayaan terhadap perdana menteri dan kerajaan hari ini.

Beberapa ahli Parlimen sebelum ini turut menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Sekiranya darurat diisytihar, Dewan Rakyat juga akan ditangguhkan.

Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam terancam.

Darurat keselamatan sebelum ini pernah diisytiharkan di Tanah Melayu dari 1948 hingga 1960, ketika itu bertujuan mengekang kegiatan politik berhaluan kiri, terutama Parti Komunis Malaya.

Manakala, negara pernah mengisytiharkan darurat bencana sebanyak 3 kali, akibat situasi jerebu melanda negara. Kali pertama bencana darurat dilaksanakan pada 19 Sept 1997 di Sarawak, apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 600.

Seterusnya di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2005 (IPU melebihi 500) dan kali terakhir darurat bencana diumumkan di Muar dan Ledang, Johor pada 23 Jun 2013 (IPU melebihi 500). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *