Kedai Perabot Dan Elektrik Terbakar, Kerugian Dianggarkan RM5 Juta

Sebuah kedai perabot dan kediaman di Jalan Lintas Kepayan, Kota Kinabalu, terbakar kira-kira jam 6.30 pagi tadi. – NSTP/JUWAN RIDUAN

KOTA KINABALU: Sebuah kedai perabot dan elektrik di Jalan Lintas Kepayan, di sini, hangus dalam kebakaran dengan kerugian dianggarkan hampir RM5 juta, hari ini.

Insiden kira-kira jam 6 pagi itu memusnahkan keseluruhan bangunan kedai dua tingkat terbabit.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kedai itu belum beroperasi ketika kejadian.

Pengurus kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, berkata beliau mengetahui kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang pekerjanya.

“Ketika kejadian, kedai belum beroperasi. Sebaik saja tiba, kedai dilihat sedang terbakar tetapi punca kejadian belum diketahui.

“Kedai ini menjual perabot serta barangan elektrik, dan kebakaran menyebabkan kerugian dianggarkan hampir RM5 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden terbabit pada jam 6.23 pagi.

Susulan itu, seramai 41 anggota dan pegawai bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal kira-kira jam 7.20 pagi. Kebakaran memusnahkan keseluruhan bangunan terbabit.

“Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kedai tayar dan sebuah rumah,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *