Darurat Kesihatan Mungkin Dilaksanakan

gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan ‘darurat kesihatan’ berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dalam negara terutama di Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Perkara itu dipertimbangkan selepas mendapat rayuan pengurusan tertinggi pasukan petugas barisan hadapan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikatakan sudah mendapatkan pandangan daripada pihak berkenaan termasuk Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM berhubung langkah itu.

Bagaimanapun, difahamkan darurat berkenaan bukan perintah berkurung dan orang ramai masih boleh membeli barangan keperluan seperti biasa dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Darurat kesihatan itu akan dilaksanakan selama enam bulan dan sidang Parlimen akan ditangguhkan buat sementara.

Spekulasi itu dikuatkan lagi dengan ketiadaan sidang media harian oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang biasanya diadakan pada jam 4 petang.

Malah, sidang media Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga tidak diadakan hari ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri mengadakan Mesyuarat Kabinet Khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Beberapa kenderaan yang dinaiki menteri Kabinet juga dilihat memasuki Perdana Putra, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang turut dilihat memasuki Perdana Putra pada kira-kira 9 pagi.

Mesyuarat berkenaan dipercayai tamat sebelum jam 1 tengah hari.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *