Covid-19: Kes Harian Sebenar Sabah Diketahui Selepas 6,653 Ujian Tertunggak Selesai

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Masidi Manjun berkata jumlah diumumkan setakat ini tidak menggambarkan jumlah kes harian yang tepat kerana ia campuran bagi kes harian sebenar dan kes daripada ujian tertunggak yang didapati positif.

KOTA KINABALU: Jumlah sebenar kes harian Covid-19 di negeri ini hanya akan diketahui selepas 6,653 ujian tertunggak diketahui keputusannya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan Sabah bagi Covid-19 berkata, jumlah diumumkan setakat ini tidak menggambarkan jumlah kes harian yang tepat kerana ia campuran bagi kes harian sebenar dan kes daripada ujian tertunggak yang didapati positif.

Masidi berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk menyelesaikan ujian tertunggak itu dan pihaknya berharap ia dapat diselesaikan segera.

“Mudah-mudahan bila dapat selesaikan kes tertunggak ini kami dapat angka lebih realistik dan suatu cerminan tepat kes Sabah. Kami harap diselesaikan segera, 3 hospital swasta dilantik untuk bantu dan ia (ujian) dihantar terus ke Kuala Lumpur untuk proses,” katanya pada sidang media malam ini.

Hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Sabah kekal mencatat kes tertinggi Covid-19 dengan 578 kes daripada keseluruhan 847 kes seluruh negara.

Sementara itu, ditanya kejadian seorang wanita berusia 63 tahun yang disahkan positif Covid-19 ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat 8 bangunan Hospital Queen Elizabeth I malam tadi, Masidi berkata siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan merupakan penghuni sebuah rumah kebajikan dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

“Polis masih siasat punca sebenar kes ini, setakat yang kami tahu mendiang betul dimasukkan (ke hospital) akibat Covid-19 tetapi discaj hari ini (selepas disahkan bebas Covid-19) kerana itu polis masih siasat punca kejadian ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua pusat rawatan untuk Covid-19 di negeri ini masih mempunyai jumlah katil mencukupi bagi memenuhi keperluan rawatan penyakit itu walaupun katil di hospital kini digunakan pada kadar maksimum.

“Selain hospital, kerajaan ada 23 pusat rawatan yang ditempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah tahap 1 dan 2, ini sedikit sebanyak memberikan ruang buat hospital merawat pesakit yang lebih serius,” katanya.

Masidi berkata, setakat ini seramai 13 guru, 27 pelajar dan 2 petugas Jabatan Pendidikan Sabah dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani rawatan.

“Punca jangkitan guru, pelajar dan petugas ini masih disiasat, buat masa ini punca jangkitan ini kami tidak kesan daripada mana-mana kluster yang dilaporkan,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *