Covid-19: 710 Kes Baharu, 10 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR: Jumlah positif Covid-19 di Malaysia menunjukkan penurunan dengan 710 kes baharu dicatatkan hari ini.

Bagaimanapun, jumlah kematian meningkat kepada 10 orang setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini jumlah kumulatif kematian di Malaysia adalah 214 kes.

Menurutnya, lapan kematian direkodkan di Sabah membabitkan enam lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 33 hingga 77 tahun.

“Dua lagi kematian direkodkan di Kedah dan Labuan iaitu seorang lelaki berusia 67 tahun dan wanita berusia 58 tahun.

“Lapan daripada pesakit yang meninggal dunia mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan buah pinggang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 467 kes pulih Covid-19 direkodkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 15, 884 kes.

Beliau berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 528 kes dan usaha pengesanan kes secara aktif giat dijalankan.

“Mobilisasi petugas kesihatan membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan manakala aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambah baik dan membantu usaha menjalankan ujian saringan lebih cepat.

“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 28 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *