2 Kawasan Lagi Di Sabah Kena PKPD

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu akan dilaksanakan di dua lokaliti sebagai langkah mengelak penularan pandemik Covid-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, PKPD untuk lokaliti terbabit akan dilaksanakan membabitkan dua daerah.

“Dua lagi lokaliti akan dilaksanakan PKPD iaitu satu di daerah Sandakan dan satu lagi di daerah Lahad Datu.

“Lokaliti berkenaan adalah PPR Taman Harmoni, Sandakan di mana PKPD akan bermula pada 23 Oktober hingga 5 November manakala satu lagi lokaliti iaitu di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu akan bermula 24 Oktober hingga 6 November ini.

“Selain itu, tempoh PKPD di enam lokaliti di daerah Semporna dan satu lokaliti di daerah Kunak dilanjutkan mulai 24 Oktober sehingga 6 November ini.

“Pengoperasian kedai runcit di tujuh lokaliti tersebut adalah dibenarkan mulai jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya pada sidang media khas perkembangan Covid-19 di Sabah bertempat di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Masidi berkata, PKPD bagi Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau tidak dilanjutkan kerana kes jangkitan Covid-19 di dua lokaliti terbabit berada di tahap terkawal.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan jurucakap rasmi kerajaan negeri mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah turut memberitahu terdapat 1,236 dari jumlah kes kumulatif 9,868 di Sabah membabitkan golongan bukan warganegara.

“Sebanyak 1,236 kes dengan jumlah peratus sebanyak 13.3 peratus secara keseluruhan adalah melibatkan golongan bukan warganegara.

“Selain itu, sebanyak lima koloni dikenal pasti sebagai punca jangkitan iaitu Kampung Bangau-Bangau, Kampung Selamat, Kampung Panji, Kampung Bakau dan Kampung Air di Semporna.

“Sementara itu di Kota Kinabalu, koloni membabitkan tiga kawasan iaitu penempatan Telipok, Pulau Gaya dan Kampung Numbak,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *