13 Guru, 27 Murid Positif Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengesahkan terdapat 13 guru, 27 murid dan dua kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dijangkiti Covid-19, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, mereka kini sedang menjalani rawatan di pusat rawatan.

“Walau bagaimanapun, golongan guru, murid dan kakitangan ini bukannya sebahagian daripada mana-mana kluster yang sedia ada. Punca jangkitan juga masih dalam siasatan,” katanya dalam satu sidang media khas perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat sebanyak 6,653 sampel saringan Covid-19 yang masih menunggu keputusan.

“Kita berharap apabila diuruskan baki sampel ini, kita akan memperolehi angka yang lebih realistik.

“Walaupun kita melantik tiga institusi perubatan swasta untuk membantu kerajaan menyelesaikan kes tertunggak ini namun separuh daripadanya kita hantar ke Kuala Lumpur untuk pemprosesan.

“Buat masa ini sukar untuk kita nyatakan dengan jelas bila semua kes ini berjaya untuk diselesaikan kerana jumlahnya agak besar, namun kita mengharapkan ia diselesaikan segera agar angka kes yang terima di lapangan dapat mencerminkan keadaan sebenar,” katanya.

Sabah hari ini mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 sebanyak 578 kes dengan empat kematian.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 9,868 kes.

Kota Kinabalu mencatatkan jumlah kes baharu hari ini sebanyak 233 kes diikuti dengan Sandakan (81); Tawau (65); Tuaran (43); Semporna (35); Penampang (31); Papar (24); Putatan (17); Lahad Datu (15); Kinabatangan (10); Kudat (lapan); Kunak, Kota Marudu (empat); Ranau (tiga); Keningau (dua); dan satu kes masing-masing di Kota Belud, Pitas dan Beaufort.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *