Pekerja Cari Gali Minyak, Gas Dijangkiti COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun ketika sidang media mengenai perkembangan harian COVID-19 Sabah di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pekerja cari gali minyak dan gas antara 535 individu yang dilaporkan positif COVID-19 di Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata terdapat 28 kes positif membabitkan pekerja industri minyak dan gas.

Beliau berkata 26 pekerja sektor berkenaan masih menunggu keputusan saringan.

“Kluster ini belum dinamakan tetapi tindakan sudah diambil untuk membendung penyebarannya.

“Terdapat tiga kluster baharu hari ini iaitu Kluster Basung dengan 26 kes membabitkan penjual ikan di Kudat dan Kluster Inai (13 kes) membabitkan upacara inai untuk perkahwinan juga di Kudat.

“Kluster Tempayan dengan 19 kes membabitkan pekerja dan pelanggan sebuah restoran di Penampang,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata kes positif COVID-19 di Kota Kinabalu dijangka melonjak ke satu angka yang tinggi selepas semua banduan di Pusat Penjara Kepayan, di sini, disaring.

Katanya, berdasarkan laporan awal mengenai ujian yang dilaksanakan dalam kalangan banduan, menunjukkan hampir 60 peratus daripada jumlah saringan adalah positif.

“Seramai 2,700 banduan menghuni Penjara Kepayan. Ini bermakna selepas semua banduan disaring, sekiranya peratusan positif itu tinggi, maka kes positif di Kota Kinabalu melonjak kepada satu angka yang saya fikir amat tinggi.

“Saya buat kenyataan awal ini supaya kita faham jika dalam beberapa hari ini, kes positif di Kota Kinabalu meningkat secara mendadak, ia disebabkan Kluster Penjara Kepayan membabitkan banduan dan pegawai serta kakitangan di penjara,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata kes di Sabah masih tinggi tetapi laporan terbaharu daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan jabatan itu boleh mengawal keadaan di pantai timur negeri ini.

Sementara itu, katanya Lahad Datu mencatat kes positif COVID-19 tertinggi hari ini dengan 115 kes, diikuti Kota Kinabalu (90); Tawau (83); Tuaran (49); Sandakan (35); Papar (31); Kudat dan Putatan masing-masing (30) serta Semporna (26).

Sabah merekodkan lima kematian hari ini, manakala jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 9,209 kes dengan 5,513 pesakit masih menerima rawatan di wad seluruh Sabah.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *