Usul Tidak Percaya Terhadap Muhyiddin

Sejarah bakal tercatat dalam politik Malaysia apabila seorang Perdana Menteri menerima begitu banyak usul tidak percaya daripada ahli-ahli Parlimen pada sesi sidang Parlimen yang dijadualkan diadakan mulai 2 November depan.

Selain Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempertikaikan kenapa usul itu tidak dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat, seramai lima lagi ahli Parlimen daripada parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan 11 ahli Parlimen daripada parti Amanah Negara (Amanah) melakukan tindakan yang sama.

Kata Tengku Razaleigh, beliau meminta agar pembentangan usul tidak percaya di Dewan Rakyat menjadi satu keutamaan pada persidangan akan datang. Itulah nasib yang akan dialami oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bergantung kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan sama ada mahu mengutamakan usul persendirian itu untuk dibentang dan dibahaskan.

Muhyiddin mungkin semakin tersepit. Ada orang kata, kedudukannya kini bagaikan telur di hujung tanduk. Namun, dalam politik sebarang kemungkinan boleh berlaku. Masa akan menentukan apakah ‘Abah’ akan selamat atau tidak tetapi tidak kira apa yang berlaku, undang-undang dan kedaulatan negara mesti dipertahankan.

Mengikut lunas-lunas sistem demokrasi berparlimen, sekiranya seseorang Perdana Menteri gagal memperoleh sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen, beliau dengan sendirinya telah hilang kepercayaan dan perlu meletak jawatan atau membubarkan Parlimen.

Malaysia menegakkan prinsip-prinsip demokrasi. Apabila Perdana Menteri gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen, ia sebenarnya perkara yang penting dan perlu diselesaikan. Oleh itu, demi keyakinan rakyat, adalah menjadi tanggungjawab Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk merungkai isu berkenaan dengan baik.

Dijangkakan dalam beberapa minggu akan datang, pergolakan politik negara akan menjadi lebih tidak menentu. Diharap, segala pertikaian itu mesti ditamatkan berlandaskan demokrasi dan suara rakyat. Kita sudah tentunya tidak mahu negara terjerumus dalam suasana tegang lebih-lebih lagi ketika Covid-19 masih peringkat membimbangkan. –SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *