RM44 Juta Ditambah Kukuh Sistem Kesihatan Di Sabah

Peruntukan itu adalah komitmen kerajaan memerangi penularan COVID-19 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menambah peruntukan sebanyak RM44 juta lagi bagi mengukuhkan sistem kesihatan di Sabah berikutan gelombang terbaharu COVID-19 yang melanda negeri berkenaan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Kesihatan itu meliputi penambahan pelbagai kelengkapan peralatan dan perubatan.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan adalah komitmen kerajaan memerangi penularan pandemik itu selain memastikan barisan hadapan serta sistem kesihatan mempunyai dana mencukupi bagi melindungi rakyat.

“Di saat gelombang terbaharu COVID-19 melanda Sabah, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta untuk mengukuhkan barisan hadapan kesihatan negeri.

“Ia meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sejak Februari 2020, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.7 bilion bagi memerangi penularan COVID-19 yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri.

Katanya, ia termasuk RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan, RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kerajaan tidak teragak-agak menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutama bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada NADMA untuk menyokong usaha menangani penularan COVID-19.

Jelasnya, kedua-dua peruntukan tambahan itu selaras dengan komitmen bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

Mengenai jumlah kutipan Tabung COVID-19, beliau berkata sejak ia bermula pada Februari lalu, kerajaan menerima sejumlah RM44.7 juta dalam bentuk derma daripada individu, perniagaan dan organisasi.

Beliau menjelaskan dana berkenaan hanya untuk kegunaan memerangi COVID-19 dan setakat ini sebanyak RM33.1 juta digunakan untuk membeli peralatan perlindungan diri (PPE) dan kelengkapan perubatan yang dibekalkan kepada institusi kesihatan seluruh negara.

“Saya ingin menyeru semua pihak bekerjasama menangani penyebaran kenyataan dan berita palsu serta mengelak daripada memberikan gambaran salah mengenai keadaan semasa COVID-19 sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

“Apa yang lebih penting adalah untuk kita menumpukan perhatian kepada usaha melindungi nyawa, memastikan kelangsungan kehidupan, perniagaan serta ekonomi dalam norma baharu,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *