Dalang Sindiket Edar Dadah Di Inanam Ditangkap

KOTA KINABALU: Tindakan agresif seorang suspek pengedar dadah cuba meloloskan diri tidak kesampaian apabila polis bertindak pantas dan cekap menahan suspek tersebut berdekatan Pasar Malam Inanam, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki berusia 23 tahun yang berstatus pemastautin tetap itu dipercayai menjadi dalang kepada sindekat pengedaran dadah di kawasan Pekan Inanam.

Beliau berkata, suspek ditahan pada 8.30 pagi Rabu (14 Oktober) ketika serbuan dilakukan di tepi jalan berhampiran Pasar Malam Inanam. Lelaki berkenaan bertindak agresif ketika ditahan, namun tindakan pantas polis berjaya menangkap suspek.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 205 keratan straw mengandungi dadah jenis syabu seberat 70.50 gram dianggarkan bernilai RM7,050 yang dijumpai berdekatan suspek dan di dalam poket seluar suspek.

“Modus operandi suspek adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari sindiket untuk dijual dalam kuantiti yang kecil kepada penagih di sekitar kawasan Pekan Inanam.

“Sebuah kenderaan jenis Proton Saga turut disita untuk siasatan lanjut kerana disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 7 ADB FOP 1988 bagi sitaan kenderaan.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *