Covid-19: Satu Kluster Baharu, 6 Kematian Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan satu kluster baharu Covid-19, iaitu kluster Penjara Kepayan, dengan 48 kes baharu pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 170 individu yang disaring, 49 kes didapati positif dan 121 individu disahkan negatif.

Tambahan kluster baharu itu menjadikan keseluruhan kluster di Sabah adalah sebanyak 30 kluster.

Untuk hari ini, tujuh kes kematian dilaporkan di Malaysia dan enam daripadanya adalah di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata, enam kes kematian itu masing-masing dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth (2), Hospital Duchess of Kent, Sandakan (2) dan dua kematian di Hospital Tawau.

Kesemua pesakit yang berusia antara 41 hingga 70 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti penyakit darah. Ia melibatkan tiga lelaki dan seorang perempuan warganegara Malaysia serta seorang lelaki dan perempuan bukan warganegara.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 187 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 61 kes.

Bagi kes baharu, daripada 871 kes positif baharu yang dilaporkan, 702 kes atau 80.6 peratus adalah di Sabah.

Sehingga kini, bilangan kumulatif kes di Sabah adalah sebanyak 7,439 kes atau 36.3 peratus daripada bilangan keseluruhan kes di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, lonjakan kes ini berikutan laporan sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dalam jumlah yang besar.

Sejak bermula pandemik Covid-19 di Malaysia, sebanyak 251,030 orang individu di Sabah menjalani saringan Covid-19.

Sementara, sembilan kes positif baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan, dengan satu kluster baharu, iaitu kluster Bah Layangan (1).

Pertambahan kes baharu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 20,498 kes. Sebanyak 7,049 kes aktif dengan 86 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 28 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 701 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 13,262 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *